SOSIAL DAN OPEN-MINDED

Assalamualaikum wbt dan salam perjuangan.

Saya masih lagi berada dalam musim peperiksaan. Alhamdulillah, setiap kertas matapelajaran yang saya lalui dalam peperiksaan ini mampu dilalui dengan baik walaupun saya sendiri tidak dapat menjanjikan keputusan yang cemerlang. Keputusannya saya serahkan kepada Allah setelah saya berusaha. Tinggal dua subjek lagi untuk diuji. Dengan kesempatan yang belum tentu berpanjangan ini, saya berusaha meluahkan sesuatu yang saya kira sebagai pembetulan cara berfikir kebanyakkan umat Islam dan dalam masa yang selaku hujah untuk menentang golongan yang terlalu mempersoalkan ketetapan agama kita.

Saya tidak mahu mengupas terlalu banyak, cukup sekadar dua isu yang mudah diungkap kalimahnya dengan bibir tetapi sebenarnya berat untuk difikirkan dengan akal kurniaan Allah iaitu sosial dan open-minded atau berfikiran terbuka. Biasa kita mendengar apabila kita memilih untuk menjaga ikhtilat, kita akan dikatakan sombong dan macam-macam lagi yang saya sendiri pun sudah lali mendengarnya. Mulalah orang bercakap kepada kita, "Kau ni jangan tertutup sangat. Bersosial sikit,". Macam biasa dengar.

Kalimah sosial bukanlah berasal daripada bahasa ibunda kita. Kalimah ini merupakan pinjaman daripada Bahasa Inggeris, iaitu perkataan social yang boleh ditakrifkan sebagai,
  1. of society and its organization.
  2. needing the company of others.
  3. (of an activity) in which people meet for pleasure.
  4. (of animals)living in organized communities.
Petikan di atas saya cedok daripada Oxford English Minidictionary 6th Edition keluaran Oxford University Press yang terkandung pada telefon bimbit pemberian ibu bapa saya.

Saya yakin bahawa yang mengungkapkan penyataan di atas mempunyai akal yang sihat walaupun mungkin matanya sedikit rabun tetapi diperbaiki dengan sepasang kaca mata seperti saya. Berdasarkan pengertian yang saya kemukakan, bersosial tidaklah terbatas untuk lelaki berinteraksi dengan perempuan semata-mata. Bersosial juga boleh berlaku apabila lelaki berinteraksi dengan lelaki dan wanita dengan wanita. Golongan tersebut telah menkhususkan pengertian sosial kepada interaksi sesama lelaki dan perempuan sedangkan perkataan itu membawa maksud yang lebih luas. Saya hendak bertanya, siapa yang jumud dan berfikiran tertutup?

Satu lagi kes, iaitu program yang berunsurkan kerohanian seperti usrah, halaqah, majlis ilmu dan ceramah agama jika dibandingkan dengan program riadah yang memang jelas tidak terjaga ikhtilat antara peserta lelaki dan wanita. Dalam program agama, bukankah yang menyampaikan sama ada ustaz, syeikh, naqib atau pentazkirah perlu berbicara bersama peserta? Bukankah dalam majlis-majlis tersebut terjadi perbincangan seperti soal-jawab? Bukankah ini juga bersosial namanya? Walaupun dunia kita sekarang tanpa sempadan, tetapi fikrah golongan ini sebenarnya terpenjara dek kejahilan mereka terhadap keterbukaan Islam. Mereka menyempitkan Islam pada ritual semata-mata, jadi Allah menyempitkan pemikiran mereka.

Satu lagi isu ialah keterbukaan. Apabila kita mengambil dasar mengutuk program-program yang memang jelas berbentuk kemaksiatan, kita akan dituduh jumud dan tertutup, "Kau ni, open-mindedlah sikit," katanya. Sahabat-sahabatku sekalian, maksud keterbukaan dalam Islam adalah kita menerima setiap perkara yang bukan berasal daripada Islam asalkan tidak melanggar batas hukum syriatullah. Malah, bijak pandai Islam menggunakan konsep keterbukaan ini dalam mengekstrak ilmu-ilmu daripada Tamadaun Yunani dan Rom kemudian mengislahkan ilmu tersebut. Mereka digelar bijak pandai kerana mampu memanfaatkan konsep keterbukaan tersebut. Jadi, mereka yang menyalahtafsirkan konsep keterbukaan malah menuduh golongan yang berpegang teguh dengan Islam sebagai tertutup adalah tidak layak digelar bijak pandai sekalipun mereka memiliki doktor falsafah (PhD.).

Sesungguhnya terbuka di dalam Islam tidaklah sampai melakukan dosa. Melakukan dosa itulah sebenarnya tertutup kerana mereka mengikut nafsu dan syaitan dalam tindakan mereka tanpa melihat kepada peraturan yang ditetapkan oleh Allah, kemudian dengan bangganya mengatakan mereka itu terbuka dan kita ini berfikiran sempit dan tertutup.

MENGHITUNG HARI

Assalamualaikum wbt dan salam perjuangan.

Hari berganti hari, malam berganti malam, tibalah jua hari yang mendebarkan iaitu Peperiksaan Akhir Semestar bagi setiap IPT. Tidak ketinggalan juga diri ini. Dalam kesibukan setiap manusia yang bergelar mahasiswa dan mahasiswi bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan, saya sempat meluangkan masa untuk menerbitkan celoteh ini kerana peperiksaan untuk semua pelajar tahu satu USIM kampus Nilai dan Pandan Indah dijadualkan bermula pada 2 November. Musim peperiksaan akan berjalan selama 3 minggu.

Bersempena dengan pepriksaan yang akan menjelang tidak lama lagi, pelbagai program telah dilangsungkan sama ada pada peringkat kolej kediaman, fakulti, unit dan jabatan. Saya teringat satu peristiwa yang melucukan dan agak menjengkelkan yang terjadi di Kolej Kediaman Sutera Indah (KKSI). Jawatanluasa kolej kediaman atau JAKSA menganjurkan suatu program bersempena peperiksaan yang akan menjelang. Program ini memang berguna kerana terkandung padanya majlis-majlis ilmu dan zikir seperti majlis solat hajat, penyampaian tazkirah dan tidak lupa, makan free. Walaupun majlis ini amat bermanfaat kepada warga KKSI, malangnya majlis ini dimulai dengan riadah kontroversi, senamrobik yang dipimpin oleh seorang jurulatih lelaki yang saya sendiri pun tidak maklum dari mana datangnya.

Sesi senamrobik dijadualkan bermula pada pukul 5.30 petang. Malangnya, program ini tidak mendapat sambutan daripada majoriti mahasiswa. Mereka lebih rela terperuk dan terjeruk di dalam bilik masing-masing termasuklah saya. Akhirnya, sesuatu yang tidak dijangka malah melebihi jangkaan telah berlaku. Jurulatih tersebut menjerit meminta pelajar-pelajar turun. Dek tidak tahan dengan kata-kata yang dilontarkan, saya dan pelajar-pelajar yang tidak berminat dengan senamrobik terpaksa turun. Jumlah yang turun tidaklah ramai kerana masih banyak yang enggan turun. Dengan jumlah yang ada, kami pun meneruskan sesi ini pada pukul 6 petang dan tamat pada pukul 7 petang, hampir-hampir memasuki waktu Maghrib. Saya terasa diri ini amat bodoh, menari, terlompat-lompat dan bermacam-macam lagi. Bak kata kebanyakan lelaki, jatuh macho saya pada hari tersebut.

Sahabat saya Umar Mukhtar, yang menuntut dalam takhassus Undang-Undang dalam tahun kedua menceritakan program sebegini telah lazim dijalankan pada tahun-tahun lepas cuma bezanya tahun yang sebelumnya adalah jauh lebih teruk dan dahsyat. Apa tidaknya, pernah sebelum dijemput jurulatih daripada kalangan perempuan. Astaghfirullah al-a'zim. Macam manalah agaknya hendak melakukan senamrobik dan dalam masa yang sama hendak menjaga pandangan mata dan hati. Ujian.. Ujian.. Saya ingat lagi semasa dianjurkan majlis-majlis seperti tilawah al-Qur'an, pertandingan berzanji dan ceramah bersempena Ramadhan pada peringkat kolej kediaman, majlis-majlis sebegini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada mahasiswa. Sedangkan program-program seperti senamrobik yang janggal pada golongan agamawan mendapat sambutan yang hambar. Tidakkah pihak yang bertanggungjawab belajar daripada kesilapan mereka? Saya puji tindakan JAKSA Kolej Kediaman Nilam Court (KKNC) kerana mengadakan sebuah forum selaku majlis ilmu yang mengundang seribu satu malah lebih manfaat kepada pelajar bersempena dengan peperiksaan.

Pihak berwajib harus sedar bahawa USIM tidak sama dengan universiti yang lain. Perkara-perkara yang tidak islamik memang sukar mendapat sambutan yang hangat daripada kebanyakan pelajar kerana kebanyakan pelajar USIM dahagakan perkara-perkara yang islamik. Jangan seperti orang yang bodoh, iaitu mereka yang melakukan kerja yang sama tetapi mengharapkan hasil yang berbeza.

Wa akhiran, saya memohon maaf di atas kelantangan jari-jari menaip artikel ini. Wallahu a'alam.

IBU MELAHIRKAN TUANNYA

Assalamualaikum w.b.t. dan salam perjuangan.

Pada 6 Oktober yang lalu iaitu bersamaan dengan hari Selasa, ketika saya sedang menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah, saya sempat meninjau ke yahoo mail saya untuk melihat emel-emel terbaru. Saya telah menerima satu emel daripada seorang sahabat seperjuangan di peringkat matrikulasi dahulu. Saya mengambil sedikit masa di dalam kesibukan untuk membaca emel tersebut. Saya berasa tersentak usai membaca. Benak ini ligat berfikir, membayangkan mengenai empunya diri, "Adakah aku persis dengan orang ini?". Na'uzubillahi min zalik. Moga-moga Allah Ta'ala menyelamatkan kita daripada menjadi anak derhaka. Teringat saya kepada maksud sabda Junjungan Besar kita, Rasul s.a.w. yang menyatakan anak derhaka tidak akan mencium bau syurga. Mencium haruman kasturi dari syurga Allah pun ditegah, apatah lagi hendak memasukinya walaupum sebentar. Memilikinya pun jauh sekali. Pembaca-pembaca rahimakumullah, cuba kita berfikir dengan akal kurniaan Allah ini, kalau kita tidak layak memasuki syurga-Nya, manakah agaknya destinasi terakhir kita nanti? Semua orang pasti tahu jawapannya, NERAKA ALLAH. Astaghfirullah. Inilah dia antara tanda-tanda dunia menuju usia senjanya, IBU MELAHIRKAN TUANNYA.

Di kesempatan ini, saya terbitkan semula emel tersebut.Insya Allah, semoga ia benar-benar berguna kepada kita dalam perjuangan merebut cinta ilahi.

Azab Anak Derhaka Hadapi Sakaratul Maut
25 June 2007 oleh ImamKhalid

Sebaik sampai ke pintu wad, jeritan Jalal menerpa ke telinga saya. Jeritannya sungguh kuat kerana azab dan sakit yang ditanggungnya tidak mampu ditanggung lagi. Saya percepatkan langkah menuju ke katilnya. Di sisi katil saya lihat ahli keluarga Jalal sedang menangis tersedu-sedu. Jelas mereka panik dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan, kecuali melihat Jalal menggelepar kesakitan dan berdoa semoga Jalal cepat sembuh. Di katil pula, Jalal meraung dan meronta sambil tangan dan kakinya terikat kemas di katil.

"Terima kasih ustaz sebab sudi datang bantu kami. Saya dah tak tahu apa nak buat. Dah seminggu lebih adik saya macam ni," kata salah seorang abang kepada Jalal sebaik melihat saya sampai.

Sebelum itu mereka menghubungi saya melalui telefon meminta saya segera datang untuk membantu menyembuhkan penyakit adik bongsu mereka itu.

"Apa sakitnya ni?" tanya saya. "Entahlah ustaz, doktor pun tak tau."

Sedang kami berbual, tiba-tiba sekali lagi Jalal menjerit kesakitan. Kali ini jeritannya cukup jelas di pendengaran saya. Jeritannya menakutkan dan menyedihkan.

"Emak, ampunkan saya mak. Panaaaassss. Saya sakit mak, sakiiiiittttttt! Tolonglah emak, ampunkan dosa saya." Berserta raungan yang dilepaskan sekuat hati, tubuh Jalal menggelepar seperti dipanggang di dalam api yang marak. Mukanya berkerut sementara matanya terbelalak akibat azab yang amat pedih. Semua yang ada di wad berkenaan memandang ke arah kami. Jeritan itu menyebabkan saya tertanya-tanya. Apakah yang menyebabkan Jalal jadi sedemikian rupa? Apa pula kaitan antara penyakitnya itu dengan ibunya?

"Panggil ibunya segera," kata saya.

Namun kata-kata saya itu tidak dijawab. Ahli keluarga Jalal cuma terdiam, menundukkan muka atau berpandangan sesama sendiri.

"Kenapa ni?" tanya saya.

Dengan perlahan abang Jalal bersuara, "Ustaz, ibu kami baru sahaja meninggal dunia dua minggu lepas."

"Kalau macam ini susahlah sikit. Saya rasa mungkin Jalal ada melakukan kesalahan besar kepada ibunya, sebab itulah dia menanggung azab yang begini rupa. Dalam keadaan macam ini, cuma ibunya saja yang dapat membantu," kata saya berterus terang.

Mereka cuma mendiam diri sementara jeritan Jalal semakin kuat. Saya semakin ingin mengetahui puncanya kerana dengan latar belakang itu insya-Allah saya boleh cuba carikan jalan lain untuk meredakan kesakitan Jalal.

"Ceritakanlah kepada saya apa yang sebenarnya telah berlaku."

"Ustaz, sebenarnya adik saya ini sudah derhaka kepada arwah ibu kami," jawab salah seorang daripada mereka.

Dengan tenang, tapi air mata bergenang abang Jalal menceritakan kepada saya kisah yang sebenarnya, kisah yang cukup menyayat hati saya. Menurutnya, Jalal adalah anak bongsu daripada mereka enam beradik, empat perempuan dua lelaki dan di kalangan mereka, Jalallah yang mempunyai kelulusan yang lebih tinggi. Bagaimanapun, sejak kecil hinggalah dia bekerja dan seterusnya berkahwin, Jalal sentiasa sahaja melawan dan menyanggah kata-kata ibunya. Nasihat dan teguran ibunya pula dipandang rendah serta tidak diendahkan. Syurga anak di bawah telapak kaki ibunya. Walaupun berpendidikan tinggi, Jalal sentiasa sahaja kekurangan wang, seolah-olah tidak dirahmati rezekinya. Berterusanlah keadaan itu hingga dia berumahtangga. Keadaan menjadi semakin buruk apabila Jalal meletakkan jawatannya di sebuah syarikat swasta. Hasratnya adalah untuk mencari rezeki yang lebih banyak di syarikat lain, namun nasibnya bukan sahaja tidak berubah, malah menjadi semakin parah. Walau di syarikat manapun yang Jalal bekerja, dia akan menghadapi masalah yang seterusnya membawa kepada dia meletakkan jawatan. Dalam kegawatan itulah Jalal mula meminjam wang daripada sahabat-sahabatnya. Selepas sekian lama hutangnya semakin banyak, namun dia masih tidak mampu melunaskannya. Rumahtangga Jalal mula kucar-kacir dan akhirnya mereka bercerai. Bagi menyelesaikan masalah tersebut, Jalal mendesak ibunya supaya mencagarkan tanah mereka di kampung kepada bank. Tanah seluas 12 ekar itu ditinggalkan oleh bapa mereka yang meninggal dunia tiga tahun sebelum itu.

"Emak, saya nak tanah tu. Bank dah setuju nak kasi RM500,000. Saya nak duit tu buat berniaga," katanya kasar.

"Jalal, engkau ni dah melampau. Itu tanah adik-beradik kamu," jawab si ibu.

"Ahhh, saya tak kira."

"Jalal, emak tidak benarkan. Emak tau, duit tu nanti bukannya engkau nak buat berniaga, tapi nak bayar hutang," jawab ibunya.

Bukan sahaja ibunya, malah semua adik-beradik Jalal tidak membenarkannya mencagarkan tanah tersebut kepada bank. Jalal pulang dengan hati kecewa. Namun dia masih bertekad untuk mendapatkan tanah berkenaan walau dengan apa cara sekalipun. Suatu hari, Jalal datang ke rumah ibunya. Beberapa orang adik-beradiknya ada di situ. Sekali lagi pertengkaran berlaku dan berakhir dengan tragedi yang amat menyedihkan. Ketika kemarahannya sampai kemuncak, Jalal menolak ibunya sekuat-kuat hati menyebabkan kepala ibunya terhantuk di pintu. Darah dari luka terpalit di pintu sedang ibunya terjelopok di lantai, rebah tidak sedarkan diri. Si ibu segera dibawa ke hospital sementara Jalal puas hati kerana dapat melepaskan kemarahannya. Akibat pendarahan otak yang serius, ibunya meninggal dunia tanpa sempat melafazkan keampunan kepada Jalal. Bermulalah azab dalam hidup Jalal. Kira-kira seminggu selepas kematian ibunya, Jalal dikejarkan ke hospital kerana jatuh sakit secara tiba-tiba. Apa yang membingungkan ialah doktor gagal mengesan penyakit yang dihadapinya. Jalal sebaliknya meraung, menjerit, meronta dan menggelepar kesakitan. Dalam raungannya itulah dia meminta ampun kepada arwah ibunya kerana tidak sanggup menanggung azab yang pedih. Berterusanlah keadaannya selama beberapa hari hingga saya dipanggil. Dalam waktu itu, doktor dan jururawat tidak dapat berbuat apa-apa kecuali mengikat Jalal di katil dan menyuntiknya dengan ubat pelali untuk menidurkannya.

"Kalau begitu kisahnya, saya cuba cara lain," kata saya.

Di samping ayat-ayat suci al-Quran, saya membacakan surah Yassin untuknya. Namun apabila dibacakan saja ayat suci itu, Jalal menjerit kepanasan. Tubuhnya menggeletik dan menggelepar kesakitan.

"Aduh panasnya! Emak, ampunkanlah saya emak! Jangan bawa saya ke situ emak, panas. Jangan bawa saya ke situ. Saya tak mau, sakit, sakit. Tolonglah saya emak, ampunkan saya, saya bersalah."

Jeritan Jalal itu meruntun hati saya. Apakah yang dimaksudkannya dengan `ke situ'? Kenapa Jalal tidak mahu dibawa `ke situ' dan apa yang dilihatnya di situ? Akibat tidak tertahan panas, tubuh Jalal terpaksa dibogelkan. Tangan dan kakinya terus diikat ke katil. Selepas puas mencuba tapi keadaan Jalal masih tidak berubah, saya meminta diri untuk pulang. Satu ingatan saya tinggalkan kepada mereka, "Jika Jalal masih hidup selepas zuhur ini, insya-Allah nyawanya masih panjang. Kalau tidak…" Ketika itu lebih kurang pukul 10 pagi.

Saya tinggalkan mereka, namun sedang saya memandu, telefon bimbit saya berdering.

"Ustaz! Cepat ustaz, adik saya dah nazak," kata si abang.

Saya berpatah balik dan apabila sampai di katilnya, saya lihat Jalal begitu tenat. Nyawanya seperti sudah di penghujungan. Keluarganya semakin cemas sambil air mata tidak henti-henti mengalir. Saya bacakan Surah al-Asr, Surah al-Falaq, Surah an-Naas serta asma ul husna. Alhamdulillah, Jalal berhenti meraung dan menggelepar. Keadaan senyap seketika. Masing-masing beristighfar dan membaca ayat-ayat suci al-Quran. Terbayang kelegaan di wajah mereka. Tiba-tiba, ketenangan itu dipecahkan sekali lagi oleh jeritan Jalal. Dia mengerang sambil tubuhnya kejang menahan kesakitan, mata terjegil seperti hendak terkeluar dan dalam satu detik yang serentak juga najisnya terpancut keluar. Bertabur membasahi seluarnya. Bau najis menusuk hidung kami. Maha suci Allah, keadaannya adalah seperti sesuatu yang berat menghenyak perutnya yang mengakibatkan nyawa, roh, najis, organ-organ dan segala-galanya yang ada di dalam tubuh terhambur keluar secara serentak. Di bahagian atas, semuanya seperti hendak terpancut keluar hingga mata Jalal tersembul sementara di bahagian bawah, kakinya kaku dan najis berhambur memancut-mancut. Cukup aib dan menyedihkan. Pakaian dan katil basah dengan air mata, peluh serta najisnya. Selepas `rentapan' itu, Jalal tidak bernafas lagi. Degupan jantungnya berhenti dan dia pergi menghadap Allah SWT untuk menerima balasan amalannya. Tamatlah riwayat seorang anak derhaka.

Saya cuma mampu melihat dengan gementar sementara keluarga Allahyarham menangis dan berpelukan sesama sendiri. Yang perempuan terpaksa keluar kerana tidak sanggup melihat mayat adik mereka. Demikianlah sakaratulmaut datang menjemput Jalal. Seperti yang dijelaskan di dalam al-quran dan hadis, ia datang dengan menyentap, merentap dan merenggut nyawa Jalal tanpa ada kasihan belas. Sudah berpuluh-puluh tahun saya menguruskan jenazah dan melihat orang menghadapi saat kematiannya, namun pengalaman menyaksikan sakaratulmaut menjemput Jalal cukup memilukan hati saya. Kesengsaraan yang ditanggung oleh Jalal sudah berakhir, namun mayatnya meninggalkan keaiban yang amat sangat. Matanya terbonjol seperti hendak terkeluar sementara giginya menyeringai. Dari kerut wajahnya, jelas sekali Allahyarham baru sahaja menanggung kesakitan dan azab yang amat pedih. Saya cuba pejamkan mata Allahyarham, namun gagal. Kelopak mata tidak berupaya untuk menutup biji matanya yang tersembul itu. Cukup mengerikan kerana hanya mata putih sahaja yang kelihatan. Ikatan di kaki dan tangan Allahyarham dileraikan dan tangannya dikiamkan. Kaki Allahyarham dirapatkan, namun sekali lagi saya menyaksikan keaiban kaki Allahyarham tidak boleh dirapatkan kerana duburnya terpancut keluar dan membonjol di celah kelengkangnya. Saya menenangkan mereka supaya bersabar dan reda dengan apa yang telah terjadi. Selesai membersihkan tubuh Allahyarham, jenazah dibawa turun kerana keluarganya mahu menguruskan jenazah tersebut di rumah mereka di salah sebuah taman perumahan di sebuah negeri di pantai barat semenanjung. Rupa-rupanya keaiban belum berakhir. Sebaik sahaja van yang membawa Allahyarham keluar dari perkarangan hospital, tiba-tiba keempat-empat shock absorbernya patah secara serentak. Van yang cuma membawa lima orang, mayat yang badannya sederhana sahaja, dua orang abang dan kakaknya, pemandu serta seorang pembantu, boleh patah shock absorbernya? Kelindan van bergegas memanggil kami. Maha suci Allah, Tuhan yang Maha Besar, apabila hendak dikeluarkan dari van, jenazah itu kami rasakan teramat berat hingga terpaksa diangkat oleh kira-kira 15 orang. Selesai masalah itu, satu lagi masalah timbul – tidak ada van atau kereta yang berani untuk mengangkat jenazah tersebut. Kebetulan sebuah lori kosong yang mengangkat tanah, pasir ataupun kelapa sawit lalu di tempat kejadian. Dengan lori itulah jenazah dibawa pulang ke rumahnya. Apa yang membingungkan kami ialah walaupun mayat berkenaan terlalu berat, tapi kayu penusungnya tidak pula patah. Lori bertolak ke rumah Allahyarham sementara saya pula memandu pulang ke rumah. Saya dimaklumkan bahawa Allahyarham dikebumikan di sebelah kubur ibunya. Namun diceritakan juga kepada saya bahawa tanah yang ditambun ke atas kuburnya tidak mencukupi. Untuk mengelakkan kubur Allahyarham berlubang, tanah lain terpaksa diambil dan ditambur ke atasnya.

Tiga hari kemudian, saya menerima panggilan telefon daripada keluarga Allahyarham.

"Ustaz, saya nak minta pertolongan dan pandangan daripada ustaz."

"Apa masalahnya itu?" tanya saya.

"Kubur adik saya berlubang ustaz."

Masya-Allah, demikian sekali keaiban yang Allah tunjukkan kepada anak yang derhaka kepada ibunya. Menurut abang Allahyarham, kewujudan lubang itu disedari sehari selepas Allahyarham dikebumikan. Lubang tersebut bermula dari bahagian tengah kubur hinggalah mencecah kepada papan yang menutup liang lahad. Tambah abang Allahyarham lagi, mereka mengambusnya dengan tanah, namun keesokan harinya kubur tersebut berlubang semula.

"Begini sajalah, cuba masukkan sekali kayu atau papan ke dalam lubang tersebut, insya-Allah, tak berlubang lagi," kata saya.

Namun keesokan harinya sekali lagi abang Allahyarham menghubungi saya memberitahu bahawa kubur berkenaan berlubang semula. Apa yang membingungkannya, tanah di kubur arwah ibunya langsung tidak berubah, masih tetap membusut walaupun sudah lebih dua minggu dikebumikan. Bukan itu sahaja, katanya, pokok yang ditanam di kubur ibunya juga hidup segar sedangkan pokok yang ditanam di kubur adiknya mati kelayuan. Pada hari kelima, saya menghubungi abang Allahyarham.

"Begini sajalah," kata saya. "Mulai malam ini buatlah majlis Yassin dan tahlil. Panggil 20 orang dan setiap seorang baca Surah Yassin sebanyak 2 kali. Apabila selesai bacaan Yassin, minta imam bacakan doa supaya diampunkan dosa Allahyarham kepada ibunya. Baca dalam bahasa Melayu dan ulang doa itu sebanyak tujuh kali."

Seperti yang saya nasihatkan, pada malam berkenaan mereka mengadakan majlis itu. Namun saya diberitahu, imam yang membaca doa tersebut menggigil ketakutan. Alhamdulillah, pada hari ketujuh, kubur berkenaan tidak lagi berlubang. Peristiwa ini sudah berlaku empat tahun lepas namun masih terbayang-bayang di mata saya. Setiap kali tibanya hari raya aidilfitri, setiap kali itulah peristiwa tersebut menjelma dalam ingatan kerana ia terjadi cuma beberapa hari selepas kita berhari raya. Sungguh menyentuh hati saya, ketika orang sedang bergembira berhari raya, ketika itulah keluarga tersebut ditimpa petaka, si ibu meninggal dunia dan anaknya yang derhaka diazab hingga ke akhir hayatnya.

Kisah ini saya paparkan bukan untuk mengaibkan Allahyarham ataupun keluarganya, tapi supaya kita dapat mengambilnya sebagai pedoman dan iktibar. Doakanlah semoga dosa Allahyarham Jalal diampunkan Allah.

TIGA HARI BERHARI RAYA

Assalamualaikum wbt. Pada Aidilfitri kali ini, saya dan keluarga berhari raya di kampung ayah saya iaitu negeri Kelantan Darul Naim. Ayah saya memutuskan untuk menginap di rumah salah seorang emak saudara saya di Tanah Merah. Kebiasaannya, kami akan menginap di rumah emak saudara saya di Pengkalan Chepa kerana jaraknya yang dekat dengan Bandar Kota Bharu. Kali ini, kami mahu bertukar angin. Perjalanan memakan masa kira-kira 5 jam dari Kuantan. Alhamdulillah, seinfiniti kesyukuran saya panjatkan kepada Allah kerana kami sekeluarga selamat sampai ke kampung halaman dan selamat kembali ke Kuantan.

Sepanjang kereta ayah saya meluncur di jalan raya, saya telah menerima beberapa mesej daripada sahabat-sahabat saya. Saya akan ceritakan setiap mesej yang dikirim dan latarbelakang setiap mesej yang saya terima.

- "Daun kemboja tumbuh melata,
Mekar mewangi di halaman bonda,
Berayalah di rumah jiran tetangga,
Mana tahu mereka ada anak dara,"

Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri daripada Aman, isteri dan anak-anak.

Mesej daripada Aman, sahabat saya yang kini menuntut di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

-Ampun dan maaf seandainya TERkasar, TERsilap bicara, Termarah yang tak kena, TERtanya tak tentu hala, TERsasul yang tak sengaja.

TERpukul dekat mana-mana, TERpekik di telinga, TERhantuk di kepala, TERpinjam harta benda, TERmoody tak semena-mena, TERumpat bila-bila, TERmacam-macam lagi yang tak kena.

Semoga dimaafkan kerana entalah sahabat ana dulu, kini dan selamanya.

Salam Aidul Fitri.

Mesej daripada Husni, sahabat seperjuangan saya di Kolej Matrikulasi Johor (KMJ) yang kini menuntut di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Saya menghantar mesej yang diberikan oleh Aman sebagai membalas mesejnya dengan sedikit pengubahsuaian.

Husni membalas, "Kalau begitu, ana nak anak dara entalah Min,".

"Eh, tu TERsalah pilih tu!", balas saya.

Husni menjawab sebelum meminta diri, "Tak mengapa Min. Ana teringin nak jadi menantu enta,".

-Salam. Ustaz, Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin.
Yusri Actuarial Science and Risk Management (ASRM).

Mesej daripada sahabat saya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Yusri yang juga satu pengkhususan dengan saya.

- Hari Raya disambut tanda kemenangan,
Tiada erti dan nilainya kemenangan,
Jika dalam bulan Ramadan tiada perjuangan.

Moga Hari Raya kali ini bahagia natijah tarbiyah Ramadan. Moga berjodoh lagi dengan Ramadan yang mendatang.

Salam Aidulfitri 1430H, maaf zahir dan batin.

Mesej daripada Amirul, sahabat saya semasa di KMJ yang kini menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM).

- Nak berpantun tiada bakat,
Nak hantar kad tak tahu alamat,
Hantar SMSlah senang dan jimat,
Kepada teman-temanku yang selalu kuingat,
Selamat Hari Raya Maaf Zahir Dan Batin.

Mesej yang saya terima daripada Ali yang menuntut di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Daniel yang kini menuntut di USIM. Kedua-duanya merupakan sahabat saya dari KMJ dan kami dahulu daripada satu praktikum, Hayat 12.

-Ukhuwwah itu kerana Allah, Allah jua tang menentukan pertemuan kita. Walau tidak lagi ketemu, ikatan ukhuwwah fillah, ikatan antara hati-hati kita masih ada. Hanya kepada Allah berharap dan memohon, agar dipelihara antara hati-hati kita. Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin. Raikanlah bukan kerana adat tetapi ibadat. Daripada adikmu, Yas.

Mesej yang saya terima daripada junior saya di KMJ, Yas.

-Salam. Moga Ramadan yang berlalu memberi sejuta erti dalam menerus kehidupan yang mendatang. Maaf atas segalanya. SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI.
-Muzakkir Shah sekeluarga.

Mesej yang saya terima daripada Abang Muzakkir, senior saya di USIM.

- Anak kerbau dalam paya,
Selamat Hari Raya.

Susu lembu dalam tin,
Maaf zahir dan batin.

Seladang matidalam khemah,
Raya nanti datanglah ke rumah.

Pagi-pagi makan buah rambai,
OK bye-bye.

Mesej yang saya terima daripada Syahmi, sahabat saya di USIM.

- Dua tiga kucing berlari,
Mana nak sama si kucing belang.
aaa...
ummm...
Aha. Selam Hari Raya Maaf Zahir dan Batin.
-Hafizi-

Mesej yang dikirim kepada saya oleh Hafizi, sahabat saya yang menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

- Kambing ranggi naik LRT,
Katak pisang tercekik tulang,
Walau SMS saja yang diberi,
Itu tandanya ikatan tak hilang.
-SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI MAAF ZAHIR DAN BATIN-

Mesej yang dikirim oleh Zarul Khaliff, junior saya di KMJ.

-Hadis riwayat Ibn Majah, "Andaikan kamu berbuat dosa sehingga dosamu mencapai langit, kemudian kamu bertaubat, nescaya Allah memberi keampunan kepadamu,". Tetapi, tidak termasuk dosa yang berkaitan sesama manusia. Sempena hari yang mulia ini, ampun dan maaf dipinta jikalau masih ada salah dan silap yang masih belum termaaf. Salam Aidilfitri.

Mesej daripada sahabat saya, Saifuddin yang kini menuntut di USIM.

-Barakah Ramadan dirindui,

Kemeriahan Syawal dirai,

Selamat Hari Raya Aidilfitri,

Daripada kami, Halim dan isteri,

Eh, bujang lagi! Saya dan famili,

Hehehe, maaf zahir dan batin.

Mesej yang dikirim oleh sahabat saya di yang juga menuntut di USIM, Halim.

Oleh kerana dia bergurau dengan saya, saya pun membalas gurauannya dengan menghantar mesej yang saya terima daripada Aman.

"Oh, gatal ya!", balas Halim.

Saya menjawab, "Eh, tak adalah syeikh! Ana bergurau saja, gurau-gurau ukhuwwah.

- For things I did wrong,
For words which might hurt,
For jokes you can take,
And for advises you can't accept,
Millions of aplogies.

Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin (dalam tulisan jawi).

Mesej daripada sahabat saya yang pernah sama-sama menuntut di Kulliah Sultan Abu Bakar, Syeikh Muslim. Beliau kini menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

- Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin (dalam tulisan jawi)
Taqabbalallahu minna wa minkum.
May Allah accept our amalan.

Mesej daripada Pn Fauziah, pensyarah Biologi yang mengajar di KMJ sesi 08/09 dan kini mengajar di Kolej Matrikulasi Melaka (KMM).

- Walau langkah tak bertemu,
Tangan tak berjabat,
Ucap tak terdengar,
Mata tak bertatap,
Tapi izinkan hati memohon maaf,
Zahir dan Batin,
Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Mesej daripada Kak Nik Syafiza, senior satu sesi dengan saya semasa menuntut di KMJ. Beliau kini menuntut di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

- Perjalanan kita tak kenal erti permulaan dan akhirnya,

Apabila jatuh, kita sendiri yang dapat bangkit,

Dan meneruskannya semula,

Seorang mujahid ilmu takkan kenal erti PENAT,

Tetapi penuh dengan semangat untuk berjuang,

Langkahnya akan tetap diteruskan biarpun cabaran mendatang,

Kelmarin Allah telah menolongmu,

Percaya dan yakinlah,

Esok pun dia masih akan menolongmu,

Salam Aidilfitri UNIC,
Maaf Zahir dan Batin.

Mesej daripada Kak Atisya, juga seorang senior satu sesi semasa di KMJ. Beliau juga menuntut di UMT.

-Salam. Imam Al-Ghazali menasihati kita, "Yang jauh itu WAKTU, yang dekat itu MATI, yang besar itu NAFSU, yang kecil itu DUNIA, yang berat itu AMANAH, yang mudah itu BERBUAT DOSA, yang panjang itu AMAL SOLEH dan yang indah itu SALING MEMAAFKAN. Mohon maaf atas segala khilaf dan kesalahan.

Mesej daripada Haizat, sahabat saya semasa di Kulliah Sultan Abu Bakar. Kini, beliau juga menuntut di USIM.

Ada suatu jenaka yang direka oleh sahabat saya di USIM berkaitan ucapan hari raya. Katanya, "Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maah Zihar dan Batan,". Saya ketawa mendengar lawak ini. Zihar maksudnya punggung, batan maksudnya perut. Jadi, "Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Punggung dan Perut,". Saya andaikan, orang sebegini mungkin kuat makan dan kalau hendak 'melepas', dia akan melepaskan tanpa 'amaran'. Astaghfirullah, maafkan saya. Sekadar gurauan. Hidup tanpa gurauan bagai sup tiada garam. Tentu hambar dan tawar rasanya.

Dalam kesempatan ini, saya juga memohon maaf atas segala salah dan silap terutamanya mereka yang terasa hati dengan kelantangan jari-jari saya menaip blog ini. Sekian, astaghfirullahal azim li wa lakum.

AIDUL FITR

Assalamualaikum wbt. Saya teringat kepada suatu sabda junjungan besar, Nabi Muhammad saw yang saya kira bermaksud, “Jika umatku memahami akan kelebihan Ramadan, pasti mereka mengharapkan sepanjang tahun ini adalah Ramadan,”. Sama ada gembira atau sedih, dapat menerima atau tidak, mahu tidak mahu, Ramadan Al-Mubarak betul-betul akan meninggalkan kita dalam masa beberapa jam lagi. Masya Allah, masa yang ada terasa berlalu begitu pantas. Secara jujur, saya masih tidak puas beramal ibadat. Masih tidak puas dengan menunaikan puasa, bertadarus, berqiamullail dan tidak lupa, mendirikan solat sunat tarawih. Walaupun ibadat puasa sunat dapat dijalankan pada luar bulan Ramadan, perasaannya tidak sama dengan menunaikan puasa wajib pada bulan Ramadan. Bulan Ramadan mempunyai seribu satu keunikan jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain. Salah satunya adalah, kebanyakan manusia menjadi lebih baik semasa berada di bulan Ramadan. Lihat sajalah masjid-masjid yang ada, memang terlalu ramai manusia. Muka yang tidak pernah kita lihat pada hari-hari biasa kelihatan pada bulan ini. Kita tidak akan melihat perkara ini di luar bulan Ramadan kecuali sewaktu solat Jumaat.

Adakah kita akan bersua lagi dengan Ramadan yang berikutnya? Adakah Allah akan memberikan lagi peluang keemasan kepada kita beribadat pada bulan tersebut? Sahabat sekalian pun tahu, jawapannya adalah belum tentu. Kemungkinan Allah akan mengambil nyawa kita, menimpakan penyakit yang berat kepada kita atau pelbagai perkara yang boleh menghalang kita daripada beribadat pada bulan ini. Masa akan terus berlalu. Ramadan akan pergi jua. Namun, bukankah Allah itu masih ada dan kekal ada sampai bila-bila? Kita sudah istiqamah datang ke masjid untuk menunaikan solat fardu secara berjemaah walaupun bukan kelima-lima waktu. Kita sudah istiqamah membaca Al-Qur’an walaupun satu muka untuk sehari. Tidak lupa, kita sudah istiqamah menunaikan puasa selama sebulan walaupun ada kemungkinan puasa kita tidak sempurna. Tidak ketinggalan, bagi perokok-perokok mereka sudah istiqamah untuk tidak merokok selama sebulan walaupun hanya pada waktu siang. Apa salahnya jika di luar bulan Ramadan kita masih istiqamah dengan amalan-amalan tadi? Bukankah beramalnya kita kerana Allah semata-mata, bukan kerana Ramadan? Ramadan hanyalah sebagai pemangkin untuk menjadikan kita lebih bersemangat untuk mencari mardhotillah.

Menjelmanya Syawal memberikan saya perasaan yang bercampur-baur. Saya berasa sedih tapi gembira pun ada dan saya yakin, sahabat-sahabat pun pasti merasai perasaan yang sama. Saya sampai ke rumah di Kuantan pada 18 September bersamaan dengan 29 Ramadan (waktu malam). Sebelum berangkat, saya sempat berjumpa dengan beberapa orang sahabat baik saya. Saya memohon kepada Allah semoga mereka sentiasa berada di dalam jagaanNya. Uhibbukum fillah wa arju ilallahi ta’ala entum fi muroqobatillahi daiman abadan insya Allah. Saya ucapkan aidul fitri Mubarak, minal a’idin wal faizin. Kullu a’m, wa entum bikhair insya Allah.


RAMADAN KAREEM, KEDATANGANMU DINANTI, PEMERGIANMU DITANGISI

Assalamualaikum wbt. Wahai sahabat-sahabatku hafizokumullahi ta'ala, saban hari, saban malam, berminggu-minggu telah pun berlalu. Tanpa kita sedari, Ramadan tinggal seminggu yang terakhir. Saya masih ingat lagi semasa umat Islam di ambang kedatangan bulan istimewa ini. Mereka begitu gembira dengan pelbagai alasan. Ada yang gembira kerana merasakan Ramadan adalah peluang untuk memperbaiki lagi mutu perhambaan kita kepada Allah. Insya Allah, semoga Allah menggolongkan kita dalam kalangan manusia seperti ini. Yang melucukan, ada yang gembira dengan kedatangan Ramadan kerana sudah tidak sabar-sabar untik meraikan 1 Syawal walaupun jarak masa lebih kurang sebulan lagi. Ada juga yang sedih kerana pada golongan jenis ini, puasa adalah ibadah yang cukup payah untuk dilaksanakan dek besar pengorbanan untuk menjayakan agenda bulan istimewa ini. Astaghfirullah al-a'zim, wal-i'yazu billah. Semoga Allah ta'ala tidak menggolongkan kita dalam golongan ini. Saya juga tidak menafikan, ada yang bersedih kerana tidak dapat berpuasa bersama-sama keluarga di rumah dek rumah yang jauh dari sekolah atau kampus universiti yang memaksa mereka menduduki asrama atau kolej kediaman. Kepada golongan ini, bersabarlah. Bukankah Allah bersama mereka yang bersabar? Lagi pun, pekerjaan kalian iaitu menuntut ilmu adalah merupakan suatu ibadat di sisi Allah jika diqasadkan lillahi ta'ala.

Namun, kini Ramadan bakal meninggalkan kita lagi. Astaghfirullah al-a'zim. Adakah amalan kita sudah mencukupi sepanjang melalui madrasah tarbiyah Ramadan? Adakah kita sudah bertransformasi menjadi mukmin sejati? Adakah kita sudah menepati maksud firman Allah, "mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertakwa,". Saya sendiri akui, saya tidak berpuas hati dengan prestasi saya pada Ramadan kali ini. Semangat beramal kerana Allah memang ada. Malangnya semangat hanya tinggal semangat. Sudah beberapa kali Allah kejutkan saya tetapi selepas bersahur, katil yang empuk memanggil saya untuk tidur. Akhirnya, saya tumpas. Masa yang terluang antara waktu bersahur dengan masuk waktu Subuh sepatutnya diisi dengan qiyamullalail. Sudahlah qiyam gagal, Subuh berjemaah pula sempat bersama imam pada rakaat kedua. Walaubagaimana pun, Alhamdulillah saya ucapkan kepada Allah kerana sempat bersama imam pada rakaat kedua daripada saya terlajak ke Subuh gajah atau dinasour. Yang sudah melepasi batasan kemampuan kita, biarkanlah berlalu. Hari dan malam yang masih berbaki ini sama-samalah kita manfaatkan untuk merebut piala takwa yang dijanjikan oleh Allah, insya Allah.


JAHILIYAH MODEN

Assalamualaikum wbt. Islam yang syumul datang daripada Allah Ta'ala yang disampaikan melalui para rasul yang kepada umat manusia untuk menyelamatkan mereka. Apabila datang sahaja agama Allah ini, kehidupan manusia benar-benar berubah. Jika kita menyingkap sejarah tamadun manusia, bangsa Arab yang teramat jahiliyahnya serta gaya hidup seperti manusia yang tidak tentu arah halatujunya berubah sehingga mereka benar-benar cemerlang. Dalam sebuah buku yang pernah saya baca, kebanyakan hasil kajian sains moden adalah hasil kerja orang Arab yang menjadikan Islam sebagai pedoman. Cara mereka melakukan eksperimen amat berbeza dengan saintis-saintis Barat yang sezaman dengan mereka kerana saintis-saintis Muslim ini berpandukan Al-Quran dan Sunnah Nabawi serta akal yang dianugerahkan oleh Allah. Ini menunjukkan, Islam memberi peluang kepada umatnya untuk menggunakan akal. Apakah sesuatu yang mungkin, Islam yang menjumudkan pemikiran umatnya tetapi umatnya yang berpegang teguh kepada ajaran ini mampu merintis kepada ilmu sains moden?

Walaupun kenyataan ini sudah lama terzahir, namun musuh-musuh Allah terutamanya golongan kuffar harbi masih tetap berdegil. Inilah yang dikatakan oleh orang-orang tua sebagai bodoh sombong. Saya pernah membaca sebuah buku karangan Muhammad Qutb yang bertajuk Jahiliyah Zaman Moden. Sejak zaman Nabi Adam lagi, antara hidayah dan jahiliyah sering terjadinya pro dan kontra. Permusuhan ini bermula apabila iblis la'natullah mula memusuhi Adam apabilia diusir oleh Allah dari syurgaNya lantaran sifat sombong mahkluk laknat tersebut yang enggan sujud kepada Adam sebagai tanda penghormatan. Permusuhan antara dua elemen tersebut yang tidak dapat dipisahkan dengan manusia berlanjutan sehingga kini, akhir zaman. Kalau zaman permulaan dakwah Nabi Muhammad saw, kaum muslimin menghadapi tentangan golongan kuffar secara berdepan, secara anak jantan. Kini, kaum muslimin menghadapi tentangan kaum kuffar secara tidak langsung. Salah satu senjata ampuh golongan bedebah ini adalah ideologi-ideologi moden yang kononnya menunjukkan modernisation. Padahal pada hakikatnya, perkara ini adalah suatu bentuk westernisation.

Mereka tidak perlu memurtadkan kita daripada Islam. Cukup dengan membuat kita ragu-ragu terhadap agama Allah ini. Memang tiada yang akan mengaku bahawasanya mereka ragu-ragu terhadap Islam. Tetapi, apabila ditanya tentang perlaksanaan Islam dalam kehidupan secara menyeluruh bukan sebahagian-sebahagian, raut wajah mereka akan berubah, tersenyum sinis. Kenapa? Kenapa reaksi mereka sebegitu? Saya pernah berbual dengan seorang kenalan ketika menuntut di matrikulasi. Saya berkata kepada dia, "Nak tak nak, Islam sajalah cara untuk kita selamat. Kembalikan semula cara Islam sepenuhnya,". Reaksinya menampakkan macam saya ini bercakap kosong. Memang berkesan jarum Yahudi dan Nasrani, mendidik umat Islam menjadi ragu-ragu terhadap agamanya sejak kecil lagi. Rancangan yang mengambil masa yang lama. Tetapi, kesannya sudah pun terbukti pada zaman moden ini.

Saya pernah mengikuti sebuah kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Ang Wan Seng. Dalam kuliah tersebut, beliau menyentuh mengenai musuh-musuh Islam pada zaman moden ini terutamanya ideologi-ideologi rapuh tetapi menjadi senjata yang ampuh buat masa kini. Nasionalisme, ataupun lebih dikenali sebagai assabiyah adalah bangkai yang telah lama dikebumikan oleh Nabi dan para sahabat baginda. Nasionalisme mengajar kita untuk mempertahankan keturunan dan suku semata-mata walaupun perkara yang dipertahankan adalah bercanggah dengan syariatullah. Maksud sabda Nabi saw, "Bukan daripada golonganku mereka yang assabiyah,". Mempertahankan bangsa tidaklah salah tetapi bukanlah pada perkara yang menyalahi tuntutam Islam. Setelah lama bersemadi dan reput serta busuk, akhirnya bangkai yang mungkin menjadi fossil kalau dinisbahkan makhluk hidup yang telah lama tertanam di dalam bumi digali semula oleh Mustaffa Kamal at-Taturk. Beliau adalah syaitan yang bertanggungjawab dalam meruntuhkan Khilafah turki Uthmaniyah yang dengan izin dan rahmat Allah telah bertahan selama 600 tahun. Astaghfirullah. Si bangsat at-Taturk kemudiannya dianggap menjadi Bapa Permodenan Turki. Akhirnya, Allah sendiri menghinanya dengan membunuh jasad hinanya dengan kematian yang cukup mengerikan.

Banyak lagi isme-isme yang menjadi tahi musuh-musuh umat Islam yang dicampak dengan hina kepada umat Islam seperti kapitalisme,sosialisme,komunisme, dan begitu juga liberalisme yang dianuti secara tidak sengaja oleh kebanyakan umat Islam pada masa kini. Tahi-tahi ini yang sepatutnya dibersihkan tetapi diperlakukan sebaliknya, umat Islam dengan bangga yang tidak bertempat mengambil najis-najis ini kemudian melumurkan pada badan. Astaghfirullah, betapa jijiknya. Suatu lagi perkara yang menimpa pemuda-pemuda umat Islam yang rapuh pegangan Islam mereka adalah najis syaitan Black Metal yang pada asalnya adalah kumpulan muzik underground tetapi bertukar menjadi suatu bentuk penyembahan syaitan. Ust Ang menceritakan, ahli-ahli baru Black Metal pada peringkat permulaannya akan diraikan dalam satu upacara. Dalam upacara tersebut, mereka diminta untuk mengumpul Al-Quran sebanyak yang boleh. Kemudian mushaf-mushaf tersebut diletakkan di atas antai. Mereka akan menari dengan memijak-mijak Al-Quran mengikut rentak muzik yang tidak diketahui asal-usulnya, dengan lirik yang tidak jelas maksudnya dan membuat mereka terleka. Setelah itu, mereka akan kencing dan berzina di atas Al-Quran. Tidak ketinggalan, meludah dan membakarnya. Astaghfirullah, wali'yazubillah. Seorang peserta kuliah Ust Ang bangun dan bertanya, adakah ideologi-ideologi ini timbul secara kebetulan atau ada konspirasi musuh-musuh Islam di sebalik perkara ini. Ust Ang menjawab, memang ada konspirasi.

Ya Allah, apakah yang sedang menimpa umat Muhammad ini? Sesungguhnya kami tidak rela melihat perkara ini ya Allah. Jadikanlah kami orang yang peka terhadap masalah umat. Kami tidak mahu menjadi seperti yang pernah disabdakan oleh kekasihMu saw, mafhumnya, "Barangsiapa yang berpagi-pagi tanpa memperdulikan masalah umat ini, bukanlah ia daripada golonganku,". Berikanlah kepada kami kekuatan untuk berusaha mengembalikan keadilan di muka bumiMu ini. Kami umpama bilis apabila mahu berdepan dengan jerung kuffar harbi muhaddisin. Kami tahu kemenangan amatlah tipis. Mahu memboikot produk yang dihasilkan oleh golongan ini pun kami berfikir bukan dua tiga kali malah sepuluh kali. Tetapi, kami tetap mahu melakukan sesuatu kerana kami tahu bahawasanya kemenangan adalah dengan Islam, bukan kekuatan lahiriah semata-mata. Kami berbekalkan doa, usaha dan tawakal sebagai senjata yang ampuh. Ya munzilal kitab, wa ya mujriyas sahab wa ya hazimal ahzab, ihzimhum wansurna alaihin, ya dzaljalali wal ikram. Ingatlah wahai sahabat-sahabatku, Islam bukan sekadar dianuti, tetapi perlu diisi dengan perjuangan menegakkannya sekalipun nyawa kita menjadi taruhan. Wallahu a'alam.